Rabu, 30 Mac 2016

Si Gadis Bunga Kantan

Seusai urusan di sebuah pejabat, terkilas seorang wanita yang sudah berusia dalam lingkungan tidak kurang daripada 60 tahun di tangga bangunan tersebut. Kelihatannya seperti sedang mendagangkan sesuatu. Maka penulis hanya meneruskan perjalanannya ke parkir untuk pulang tanpa menghiraukan wanita tersebut.


Namun beberapa ketika selepas itu, penulis terdetik untuk berubah fikiran dan membuat keputusan untuk berpatah balik ke bangunan tersebut untuk mengenalpasti dengan lebih terperinci akan urusan apakah yang wanita tersebut sedang lakukan. Maka bertanya penulis kepada wanita tersebut, "Mak Cik...jual apa Mak Cik?" Wanita tersebut pun sambil tangan beliau menunjukkan bungkusan surat khabar dan plastik lalu menjawab dengan nada yang lemah lembut penuh kesantunan, "buah mempelam (mangga). Yang ni pula (dalam bungkusan surat khabar) bunga kantan." Lalu bertanya lagi penulis, "bunga kantan ni berapa ringgit?"

Selepas mendapat jawapan tentang harganya, maka penulis pun mencapai dompetnya sambil bertanya (berkenalan) kepada wanita tersebut dengan lebih lanjut akan tempat tinggalnya dan datangnya ke sini bersama siapa. Penulis difahamkan wanita tersebut datang dari satu kawasan yang tidak begitu dekat dengan kawasan urusniaga ini berlaku. Tambah wanita tersebut lagi, beliau hanya datang ke sini dengan bas berseorangan. Anggaran penulis akan tempoh perjalanan tersebut mengambil masa tidak kurang daripada 50 minit. Apatah lagi jika dengan hanya pengangkutan awam seperti itu yang digunakan.

Sebak mendengar jawapan tersebut kerana kesanggupan seorang wanita (ibu) untuk mencari rezeki walaupun terpaksa datang jauh dengan hanya kudrat tidak seberapa yang ada bagi wanita berumur sebegitu. Lantas penulis menghulurkan sejumlah wang yang tidak seberapa tetapi melebihi harga barang yang hendak dibeli itu dengan harapan dapat membantu untuk meringankan sedikit bebanan wanita tersebut untuk membayar tambang bas beliau.

Kepada semua pembaca, hargailah ibu kita kerana merekalah wanita yang mulia dalam hidup kita. Merekalah SuperWoman kita.

Selasa, 26 Ogos 2014

Hasbullah Mazlan: Dah 23


Tanggal 26 Ogos 2014, sahabat aku menyambut ulangtahun kelahirannya yang ke-23. Alhamdulillah. Didoakan agar umurnya panjang diberkati dan dikurniakan rezeki yang halal.

Sedar tak sedar, aku dah lama tak menulis entri di blog "Diari Hamba Ilahi" ni. Haha. Nak kata tak ada idea? Ada ja. Tapi ia diracuni oleh elemen-elemen serta racun sifat pemalas kot. Hahak!

Sabtu, 15 Februari 2014

5 Tips Bijak Jauhi Zina

PROSES ZINA:
Pandangan >  Senyuman > Berdua-duaan > Bersentuhan > Berzina.
 
Dalam konteks ini, Rasulullah SAW menerangkan: "Kedua-dua mata itu boleh melakukan zina, kedua-dua tangan itu boleh melakukan zina, kedua-dua kaki itu boleh melakukan zina. Kesemuanya itu akan direalisasikan atau digagalkan (melakukan zina sebenar) oleh kemaluan." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

1)  Jaga Pandangan Mata:

Seperti yang sering diungkapkan oleh pepatah Melayu: "Dari mata, turun ke hati." Mata adalah jendela bagi hati. Untuk menjaga hati, terlebih dahulu mesti menjaga mata.

Apabila kita menjaga mata, Allah akan memelihara iman di dalam hati. Allah akan memberikan kekuatan, kesabaran dan kebijaksanaan menghadapi 'kelazatan' mata yang sementara.

Maka, akan lahir kemanisan iman untuk lebih kuat beribadah dan mentaati Allah. Ibadahnya akan menjadi lebih kemas dan berkualiti. Tetapi kadang kala mata ini tidak sengaja terpandang perkara-perkara yang diharamkan. Jika begitu, bagaimana?

Rasulullah SAW pernah berpesan kepada Sayidina Ali, dengan berkata: "Wahai Ali, janganlah engkau meneruskan pandangan yang haram (tidak sengaja) dengan pandangan yang lain kerana pandangan yang pertama itu harus (dimaafkan) bagimu. Namun yang kedua itu adalah HARAM." (Riwayat Abu Dawud dan al-Tarmizi)

2)  Tahan Pendengaran:

Mendengar sesuatu yang boleh membangkitkan syahwat juga dilarang dalam Islam. Apa yang didengarinya boleh 'mengalir' ke dalam hati. Tegasnya, pendengaran juga boleh merosakkan hati.
Hal ini juga telah ditegah oleh Allah melalui firman-Nya: "Janganlah mereka (wanita) menghentakkan kaki untuk diketahui orang lain apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka. Bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah." (Surah al-Nur, 24:31)

Larangan ini juga termasuk adab seorang wanita bercakap dengan lelaki yang bukan mahramnya. Wanita hendaklah bercakap dengan intonasi yang beradab, tidak merengek-rengek, mendayu-dayu atau dengan suara yang menggoda.

Perkataan dan bahasa yang dipilih mestilah yang sopan, jelas dan elakkan daripada perkataan yang boleh mengundang fitnah. Selain itu, peliharalah pendengaran kita daripada mendengar lagu-lagu yang menyuburkan cinta terlarang. Semua ini hendaklah dijauhi.

3)  Tidak Berdua-duaan:

Mereka yang memiliki iman, tidak akan sesekali membiarkan dirinya terdedah untuk berdua-duaan dengan seorang wanita. Sekiranya dilakukan, seolah-olah ia sengaja membuka pintu kepada perzinaan.
Ini mukadimah zina yang paling bahaya. Berdua-duaan ini akan membuka ruang kepada kehadiran 'pihak ketiga' untuk menggoda. Rasulullah SAW memberi amaran: "Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang wanita kecuali bersama mahramnya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Malangnya, berdua-duaan (bercouple) dianggap normal, malah menjadi budaya dalam masyarakat Islam hari ini. Dosa kesalahan ini sudah menjadi seperti tidak berdosa, bahkan dianggap sporting dan moden jika dilakukan.

Budaya couple juga sudah mendominasi nyanyian, filem, iklan dan sebagainya, semata-mata untuk mengaut keuntungan besar dalam perniagaan. Lebih malang lagi, ada kalangan ibu bapa yang bukan lagi mengizinkan, bahkan menggalakkan anak mereka berdua-duaan sebagai proses berkenalan.

4) Elak Bersentuhan:

Apabila berdua-duaan (berdating), setelah pandangan dan pendengaran, akhirnya syaitan berjaya menggoda supaya pasangan itu bersentuhan. Mula-mula sekadar berpegangan tangan, tetapi sedikit demi sedikit mula merebak kepada maksiat yang lebih berat.
Menyedari hakikat itu, Rasulullah mengingatkan kita dengan ancaman: "Seandainya kepala seseorang tertusuk dengan besi, itu lebih baik daripada menyentuh wanita yang tidak halal baginya." (Riwayat al-Tabrani)

Rasulullah SAW yang begitu tinggi akhlak dan kental imannya itu pun sangat menjaga diri daripada menyentuh wanita yang bukan mahramnya. Ini diakui oleh Baginda SAW: "Sesungguhnya aku tidak pernah bersalaman dengan wanita!" (Riwayat al-Nasa'i dan al-Tirmizi)

5)  Kawal Rasa Hati:

Perkara yang paling penting ialah mengawal rasa hati. Namun, itulah yang paling sukar dilakukan. Zina tidak akan berlaku jika hati berkata tidak. Semua pancaindera, mata, telinga, hidup, tangan dan kaki dikawal oleh hati.

Malangnya, hati juga boleh 'menghampiri zina' apabila mula berhasrat dan menyimpan harapan. Inilah zina hati yang perlu dikawal dengan mujahadah dan ibadah. Tidak ada jalan lain kecuali mengekang hasrat dan harapannya daripada dilaksanakan. Tetapi bagaimana?
  • Jauhi lokasi yang boleh membawa kepada berlakunya perzinaan.
  • Sekat segala harapan nafsu yang berkobar-kobar dengan menahan pandangan.
  • Jauhi hidung daripada menghidu wangian yang boleh merangsang nafsu.
  • Jangan benarkan kaki melangkah ke arah maksiat dengan beruzlah di tempat-tempat yang ada suasana Islam seperti di masjid, majlis pengajian, halakah zikir dan lain-lain.
  • Kawal penggunaan alat teknologi yang cenderung membawa kepada zina.
Zina umpama api yang marak menyala. Kita harus menyekatnya ketika masih di peringkat percikan dan bara. Semua proses ke arah zina mesti dihindari walaupun kelihatan tidak bahaya di peringkat awal.

Oleh itu, segala jalan yang membuka ruang kepada perzinaan harus ditutup serapat-rapatnya kerana zina itu bermula dengan hasrat di hati, jika dilayani ia akan menjadi zina yang sebenar!

Sumber:
Ustaz Pahrol Mohamad Juoi 

Selasa, 2 Julai 2013

Mengapa Perlu Risaukan Isu Pembuangan Anak Haram?

Dewasa kini, isu pembuangan bayi atau anak luar nikah (haram) semakin berleluasa dan amat membimbangkan masyarakat. Persoalannya, adakah isu ini perlu dibimbangkan? Pasti ada yang terkejut apabila penulis sanggup mengeluarkan kenyataan sedemikian.
Sebenarnya, penulis tidak bermaksudkan supaya kita tidak perlu bimbang tentang isu pembuangan bayi ini. Isunya sekarang ialah pergaulan bebas di kalangan remaja makin berleluasa dan tiada batasannya. Punca utamanya ialah perlakuan zina di kalangan remaja malah ada juga yang masih di bangku sekolah.

Siapa salah dalam hal ini? Usahlah kita menuding jari atau mencari mana-mana pihak yang bersalah. Semuanya berpunca dari diri kita sendiri. Punca utamanya ialah secara asasnya tentulah perlakuan zina. Mengapa berlakunya zina? Ia dimulakan dengan pandangan mata, kemudian diteruskan dengan perbualan mulut, lalu meransang kepada nafsu untuk bersentuhan tangan dan kemudiannya diteruskan ke perlakuan yang melibatkan kemaluan. 

Dalam hal ini, sepatutnya masing-masing dapat membendung dari peringkat awal agar perbuatan zina yakni ketelanjuran ini tidak sama sekali berlaku. Bagaimana? Sebenarnya senang sahaja. Masing-masing perlu memainkan peranan dalam hal ini. Bagi kaum wanita, haruslah menutup aurat. Janganlah memakai pakaian yang menjolok mata dan jagalah segala apa perbuatan yang mungkin akan mendatangkan syahwat kepada kaum lelaki. Bagi kaum lelaki pula, haruslah menjaga pandangan mata. Kerana mata inilah yang akan membawa kepada cabang-cabang nafsu yang lain lalu timbul perasaan ingin melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya.

Dan yang paling penting ialah kita perlulah kembali kepada ajaran asas kita yakni ajaran agama Islam. Kita perlulah tingkatkan lagi iman kita. Namun, pada sesiapa yang sudah rasa dia telah mempunyai iman yang kuat, perlulah ingat bahawa tidak semestinya mempunyai iman yang kuat tidak perlu menjaga batas-batas ini. Sedangkan Rasulullah SAW sendiri yang mempunyai iman yang amat kuat pun menjaga pandangan beliau. Isteri-isteri Rasulullah SAW yang juga mempunyai iman yang kuat, namun masih berpakaian yang menutup aurat. Indah sebenarnya ajaran Islam ini. Kita yang "busukkannya".

Marilah bersama-sama kita bendung gejala sosial dari peringkat awal. Apa gunanya kita merawat dan mengubat tetapi tidak hindari puncanya.

Wallahu'alam. 



Ikhlas kerana Allah,
Mohiz M. Faiz
(Hamba Ilahi)

Isnin, 1 Julai 2013

Sifat Peribadi Rasulullah

Hasan bin Ali bercerita, "Aku bertanya kepada ayah saudaraku, Hindun bin Abi Halah. Beliau adalah orang yang mengetahui banyak perkara mengenai Rasulullah SAW. Aku berkata:

Beritahulah kepadaku bagaimanakah cara Rasulullah berbicara? Hindun menjawab, "Rasulullah adalah seorang yang selalu bersedih (semasa mengadu kepada Tuhannya dan menyaksikan kebesaran-Nya, bukan kerana keduniaan). Beliau tidak pernah berhenti berfikir, lebih banyak diam, tidak pernah berbicara hal yang sia-sia. Beliau memulakan dan mengakhiri bicara dengan menyebut nama Allah. Beliau berbicara dengan ringkas namun penuh makna. Kata-kata beliau terperinci, tidak berlebihan dan tidak dikurangkan.
Rasulullah bukan seorang yang keras (kasar) dan tidak suka menghina. Beliau selalu mensyukuri nikmat Allah walaupun sedikit dan tidak pernah sekali pun mencela kurniaan yang diberikan. Beliau tidak pernah mengeji mahupun memuji makanan.
 Rasulullah tidak pernah marah disebabkan urusan duniawi. Namun, jika kebenaran dilanggar, tidak ada satu pun yang dapat menghalang kemarahan beliau sehinggalah kebenaran itu ditegakkan semula. Beliau tidak pernah marah dan tidak akan meminta pembelaan berkaitan urusan peribadi.
Rasulullah selalu menggunakan seluruh telapak tangan beliau jika menunjukkan sesuatu. Sekiranya beliau kagum akan sesuatu, beliau membalikkan telapak tangan. Apabila berbicara menjelaskan sesuatu, selalu memukulkan telapak tangan kanan ke perut ibu jari kiri.
Jika Rasulullah marah kepada seseorang, beliau akan berpaling daripada orang itu dan menghindar. Apabila menyenangi seseorang, Rasulullah akan menjaga pandangan mata beliau. Kebanyakan tawa beliau adalah senyuman, giginya seumpama butiran mutiara.
(Direkodkan oleh Tirmizi)
Ikhlas kerana Allah,
Mohiz M. Faiz
(Hamba Ilahi)

Sabtu, 1 Jun 2013

Agama Ibubapa Rasulullah? Islam atau Tidak?

Soalan dan isu sebegini seringkali dibangkitkan oleh umat-umat Islam yang meragui dan mempunyai perasaan ingin tahu akan agama yang dianuti oleh ibubapa Rasulullah SAW sedangkan ajaran agama Islam didatangkan oleh junjungan besar Rasulullah SAW, erti kata lain dibawa selepas baginda dilahirkan. Bagaimana pula dengan ibubapa baginda?

Sebenar-benarnya soalan sebegini tidaklah perlu dijadikan isu atau dibangkitkan kerana ia seolah-olah tidak menghormati Rasulullah SAW. Di samping itu, isu sebegini tidaklah sehingga menyebabkan kafir mengkafir sesama umat Islam. Hal ini demikian kerana jika kita renungkan kembali, ia tidak termasuk dalam salah satu rukun Islam dan rukun Iman. Selain itu, perkara sebegini terdapat banyak khilaf sesama ahli ulama' yakni percanggahan pendapat. 

Penulis sempat menanyakan hal ini kepada beberapa orang ustaz. Semua yang mengikut ajaran tauhid adalah Muslim, iaitu menyerah diri kepada Allah SWT. Sebab itu Allah menyebut nabi Ibrahim sebagai Hanifan Musliman. Ibubapa nabi hidup di zaman fitrah selang antara nabi. Mereka menurut ajaran nabi Ibrahim, dan kebanyakkan mereka percaya kepada Allah tetapi mempersekutu Allah dengan berhala. Namun, kita tidak tahu adakah ibubapa Rasulullah juga termasuk di kalangan mereka. Ustaz juga berpendapat bahawa ibubapa Rasulullah memang tidak pernah menganut Islam tetapi mereka tidak pernah sujud kepada berhala. Agama mereka ialah Agama Hanif (suci).

Wallahu'alam.

Ikhlas kerana Allah,
Mohiz M. Faiz
(Hamba Ilahi)

Selasa, 21 Mei 2013

Sahabat Sejati


Di dunia ini, mencari sahabat sejati merupakan salah satu cabaran juga buat kita umat Islam. Sudahkah kalian menemui sahabat sejati anda? Saidina Umar Al-Khattab pernah berkata:
"Engkau mestilah mencari saudara-saudara yang jujur, hiduplah dalam lingkungan mereka, kerana mereka merupakan perhiasan di waktu senang dan bekalan di waktu sukar.”
Apakah ciri-ciri sahabat sejati di pandangan kalian semua? Adakah seperti berikut:
  • mampu menyiapkan tugasan (assignment) kita semasa di kampus;
  • mampu memberi kita wang tunai dan sentiasa belanja kita di mana-mana sahaja;
  • sentiasa bersuka ria bersama-sama kita;
  • untuk berseronok-seronok;
  • untuk jadikan ahli kumpulan bagi senang menyelesaikan tugasan (assignment) atau kerja kursus; atau
  • tempat kita cari ketika kita memerlukan pertolongan dan tinggalkan ketika kita dalam keadaan senang?
Bagi pandangan ikhlas penulis, kriteria-kriteria di atas langsung tidak memenuhi kriteria yang baik sebagai sahabat sejati Muslim. Sahabat sejati bukannya mudah untuk diperolehi. Memerlukan masa, persefahaman dan keikhlasan dari hati. 

Pernahkah kita terfikir, apabila kita dalam keadaan sakit, berapa orangkah dari beramai-ramai kawan yang sanggup bersusah payah dan berkorban masa dan sebagainya untuk membantu kita dalam proses kita untuk sembuh? Ketika kita dalam keadaan susah, berapa orangkah dari berjuta rakan-rakan yang sanggup bersusah payah menghulurkan tangan untuk membantu dan meringankan beban kita?

Sahabat sejati ialah merupakan insan yang sentiasa berada di sisi kita, ketika susah atau senang, ketika suka ataupun duka, ketika sihat mahupun sakit, ketika ketawa dan juga menangis dan sentiasa memberi sokongan pada kita dalam masa apa jua sekalipun.

Dan yang paling penting sebagai sesama Muslim, sahabat sejati juga memainkan peranan yang amat penting dalam membantu dan membimbing kita ke jalan yang diredhai oleh Allah serta sentiasa bersedia untuk menegur kita ketika kita berada di landasan yang salah dalam hidup yang penuh dugaan ini.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata:
"Rasulullah s.a.w. telah bersabda, maksudnya: 'Seorang Mukmin itu berada di atas agama (gaya hidup dan perilaku) sahabatnya. Maka, salah seorang daripada kamu hendaklah memerhatikan dengan siapakah dia bersahabat.' " (Riwayat al-Tirmizi dan Abu Daud)

Ikhlas kerana Allah,
Mohiz M. Faiz
(Hamba Ilahi)