Selasa, 26 Ogos 2014

Hasbullah Mazlan: Dah 23


Tanggal 26 Ogos 2014, sahabat aku menyambut ulangtahun kelahirannya yang ke-23. Alhamdulillah. Didoakan agar umurnya panjang diberkati dan dikurniakan rezeki yang halal.

Sedar tak sedar, aku dah lama tak menulis entri di blog "Diari Hamba Ilahi" ni. Haha. Nak kata tak ada idea? Ada ja. Tapi ia diracuni oleh elemen-elemen serta racun sifat pemalas kot. Hahak!

Sabtu, 15 Februari 2014

5 Tips Bijak Jauhi Zina

PROSES ZINA:
Pandangan >  Senyuman > Berdua-duaan > Bersentuhan > Berzina.
 
Dalam konteks ini, Rasulullah SAW menerangkan: "Kedua-dua mata itu boleh melakukan zina, kedua-dua tangan itu boleh melakukan zina, kedua-dua kaki itu boleh melakukan zina. Kesemuanya itu akan direalisasikan atau digagalkan (melakukan zina sebenar) oleh kemaluan." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

1)  Jaga Pandangan Mata:

Seperti yang sering diungkapkan oleh pepatah Melayu: "Dari mata, turun ke hati." Mata adalah jendela bagi hati. Untuk menjaga hati, terlebih dahulu mesti menjaga mata.

Apabila kita menjaga mata, Allah akan memelihara iman di dalam hati. Allah akan memberikan kekuatan, kesabaran dan kebijaksanaan menghadapi 'kelazatan' mata yang sementara.

Maka, akan lahir kemanisan iman untuk lebih kuat beribadah dan mentaati Allah. Ibadahnya akan menjadi lebih kemas dan berkualiti. Tetapi kadang kala mata ini tidak sengaja terpandang perkara-perkara yang diharamkan. Jika begitu, bagaimana?

Rasulullah SAW pernah berpesan kepada Sayidina Ali, dengan berkata: "Wahai Ali, janganlah engkau meneruskan pandangan yang haram (tidak sengaja) dengan pandangan yang lain kerana pandangan yang pertama itu harus (dimaafkan) bagimu. Namun yang kedua itu adalah HARAM." (Riwayat Abu Dawud dan al-Tarmizi)

2)  Tahan Pendengaran:

Mendengar sesuatu yang boleh membangkitkan syahwat juga dilarang dalam Islam. Apa yang didengarinya boleh 'mengalir' ke dalam hati. Tegasnya, pendengaran juga boleh merosakkan hati.
Hal ini juga telah ditegah oleh Allah melalui firman-Nya: "Janganlah mereka (wanita) menghentakkan kaki untuk diketahui orang lain apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka. Bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah." (Surah al-Nur, 24:31)

Larangan ini juga termasuk adab seorang wanita bercakap dengan lelaki yang bukan mahramnya. Wanita hendaklah bercakap dengan intonasi yang beradab, tidak merengek-rengek, mendayu-dayu atau dengan suara yang menggoda.

Perkataan dan bahasa yang dipilih mestilah yang sopan, jelas dan elakkan daripada perkataan yang boleh mengundang fitnah. Selain itu, peliharalah pendengaran kita daripada mendengar lagu-lagu yang menyuburkan cinta terlarang. Semua ini hendaklah dijauhi.

3)  Tidak Berdua-duaan:

Mereka yang memiliki iman, tidak akan sesekali membiarkan dirinya terdedah untuk berdua-duaan dengan seorang wanita. Sekiranya dilakukan, seolah-olah ia sengaja membuka pintu kepada perzinaan.
Ini mukadimah zina yang paling bahaya. Berdua-duaan ini akan membuka ruang kepada kehadiran 'pihak ketiga' untuk menggoda. Rasulullah SAW memberi amaran: "Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang wanita kecuali bersama mahramnya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Malangnya, berdua-duaan (bercouple) dianggap normal, malah menjadi budaya dalam masyarakat Islam hari ini. Dosa kesalahan ini sudah menjadi seperti tidak berdosa, bahkan dianggap sporting dan moden jika dilakukan.

Budaya couple juga sudah mendominasi nyanyian, filem, iklan dan sebagainya, semata-mata untuk mengaut keuntungan besar dalam perniagaan. Lebih malang lagi, ada kalangan ibu bapa yang bukan lagi mengizinkan, bahkan menggalakkan anak mereka berdua-duaan sebagai proses berkenalan.

4) Elak Bersentuhan:

Apabila berdua-duaan (berdating), setelah pandangan dan pendengaran, akhirnya syaitan berjaya menggoda supaya pasangan itu bersentuhan. Mula-mula sekadar berpegangan tangan, tetapi sedikit demi sedikit mula merebak kepada maksiat yang lebih berat.
Menyedari hakikat itu, Rasulullah mengingatkan kita dengan ancaman: "Seandainya kepala seseorang tertusuk dengan besi, itu lebih baik daripada menyentuh wanita yang tidak halal baginya." (Riwayat al-Tabrani)

Rasulullah SAW yang begitu tinggi akhlak dan kental imannya itu pun sangat menjaga diri daripada menyentuh wanita yang bukan mahramnya. Ini diakui oleh Baginda SAW: "Sesungguhnya aku tidak pernah bersalaman dengan wanita!" (Riwayat al-Nasa'i dan al-Tirmizi)

5)  Kawal Rasa Hati:

Perkara yang paling penting ialah mengawal rasa hati. Namun, itulah yang paling sukar dilakukan. Zina tidak akan berlaku jika hati berkata tidak. Semua pancaindera, mata, telinga, hidup, tangan dan kaki dikawal oleh hati.

Malangnya, hati juga boleh 'menghampiri zina' apabila mula berhasrat dan menyimpan harapan. Inilah zina hati yang perlu dikawal dengan mujahadah dan ibadah. Tidak ada jalan lain kecuali mengekang hasrat dan harapannya daripada dilaksanakan. Tetapi bagaimana?
  • Jauhi lokasi yang boleh membawa kepada berlakunya perzinaan.
  • Sekat segala harapan nafsu yang berkobar-kobar dengan menahan pandangan.
  • Jauhi hidung daripada menghidu wangian yang boleh merangsang nafsu.
  • Jangan benarkan kaki melangkah ke arah maksiat dengan beruzlah di tempat-tempat yang ada suasana Islam seperti di masjid, majlis pengajian, halakah zikir dan lain-lain.
  • Kawal penggunaan alat teknologi yang cenderung membawa kepada zina.
Zina umpama api yang marak menyala. Kita harus menyekatnya ketika masih di peringkat percikan dan bara. Semua proses ke arah zina mesti dihindari walaupun kelihatan tidak bahaya di peringkat awal.

Oleh itu, segala jalan yang membuka ruang kepada perzinaan harus ditutup serapat-rapatnya kerana zina itu bermula dengan hasrat di hati, jika dilayani ia akan menjadi zina yang sebenar!

Sumber:
Ustaz Pahrol Mohamad Juoi