Selasa, 2 Julai 2013

Mengapa Perlu Risaukan Isu Pembuangan Anak Haram?

Dewasa kini, isu pembuangan bayi atau anak luar nikah (haram) semakin berleluasa dan amat membimbangkan masyarakat. Persoalannya, adakah isu ini perlu dibimbangkan? Pasti ada yang terkejut apabila penulis sanggup mengeluarkan kenyataan sedemikian.
Sebenarnya, penulis tidak bermaksudkan supaya kita tidak perlu bimbang tentang isu pembuangan bayi ini. Isunya sekarang ialah pergaulan bebas di kalangan remaja makin berleluasa dan tiada batasannya. Punca utamanya ialah perlakuan zina di kalangan remaja malah ada juga yang masih di bangku sekolah.

Siapa salah dalam hal ini? Usahlah kita menuding jari atau mencari mana-mana pihak yang bersalah. Semuanya berpunca dari diri kita sendiri. Punca utamanya ialah secara asasnya tentulah perlakuan zina. Mengapa berlakunya zina? Ia dimulakan dengan pandangan mata, kemudian diteruskan dengan perbualan mulut, lalu meransang kepada nafsu untuk bersentuhan tangan dan kemudiannya diteruskan ke perlakuan yang melibatkan kemaluan. 

Dalam hal ini, sepatutnya masing-masing dapat membendung dari peringkat awal agar perbuatan zina yakni ketelanjuran ini tidak sama sekali berlaku. Bagaimana? Sebenarnya senang sahaja. Masing-masing perlu memainkan peranan dalam hal ini. Bagi kaum wanita, haruslah menutup aurat. Janganlah memakai pakaian yang menjolok mata dan jagalah segala apa perbuatan yang mungkin akan mendatangkan syahwat kepada kaum lelaki. Bagi kaum lelaki pula, haruslah menjaga pandangan mata. Kerana mata inilah yang akan membawa kepada cabang-cabang nafsu yang lain lalu timbul perasaan ingin melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya.

Dan yang paling penting ialah kita perlulah kembali kepada ajaran asas kita yakni ajaran agama Islam. Kita perlulah tingkatkan lagi iman kita. Namun, pada sesiapa yang sudah rasa dia telah mempunyai iman yang kuat, perlulah ingat bahawa tidak semestinya mempunyai iman yang kuat tidak perlu menjaga batas-batas ini. Sedangkan Rasulullah SAW sendiri yang mempunyai iman yang amat kuat pun menjaga pandangan beliau. Isteri-isteri Rasulullah SAW yang juga mempunyai iman yang kuat, namun masih berpakaian yang menutup aurat. Indah sebenarnya ajaran Islam ini. Kita yang "busukkannya".

Marilah bersama-sama kita bendung gejala sosial dari peringkat awal. Apa gunanya kita merawat dan mengubat tetapi tidak hindari puncanya.

Wallahu'alam. 



Ikhlas kerana Allah,
Mohiz M. Faiz
(Hamba Ilahi)

0 ulasan:

Catat Ulasan