Isnin, 1 Julai 2013

Sifat Peribadi Rasulullah

Hasan bin Ali bercerita, "Aku bertanya kepada ayah saudaraku, Hindun bin Abi Halah. Beliau adalah orang yang mengetahui banyak perkara mengenai Rasulullah SAW. Aku berkata:

Beritahulah kepadaku bagaimanakah cara Rasulullah berbicara? Hindun menjawab, "Rasulullah adalah seorang yang selalu bersedih (semasa mengadu kepada Tuhannya dan menyaksikan kebesaran-Nya, bukan kerana keduniaan). Beliau tidak pernah berhenti berfikir, lebih banyak diam, tidak pernah berbicara hal yang sia-sia. Beliau memulakan dan mengakhiri bicara dengan menyebut nama Allah. Beliau berbicara dengan ringkas namun penuh makna. Kata-kata beliau terperinci, tidak berlebihan dan tidak dikurangkan.
Rasulullah bukan seorang yang keras (kasar) dan tidak suka menghina. Beliau selalu mensyukuri nikmat Allah walaupun sedikit dan tidak pernah sekali pun mencela kurniaan yang diberikan. Beliau tidak pernah mengeji mahupun memuji makanan.
 Rasulullah tidak pernah marah disebabkan urusan duniawi. Namun, jika kebenaran dilanggar, tidak ada satu pun yang dapat menghalang kemarahan beliau sehinggalah kebenaran itu ditegakkan semula. Beliau tidak pernah marah dan tidak akan meminta pembelaan berkaitan urusan peribadi.
Rasulullah selalu menggunakan seluruh telapak tangan beliau jika menunjukkan sesuatu. Sekiranya beliau kagum akan sesuatu, beliau membalikkan telapak tangan. Apabila berbicara menjelaskan sesuatu, selalu memukulkan telapak tangan kanan ke perut ibu jari kiri.
Jika Rasulullah marah kepada seseorang, beliau akan berpaling daripada orang itu dan menghindar. Apabila menyenangi seseorang, Rasulullah akan menjaga pandangan mata beliau. Kebanyakan tawa beliau adalah senyuman, giginya seumpama butiran mutiara.
(Direkodkan oleh Tirmizi)
Ikhlas kerana Allah,
Mohiz M. Faiz
(Hamba Ilahi)

0 ulasan:

Catat Ulasan