Selasa, 21 Mei 2013

Sahabat Sejati


Di dunia ini, mencari sahabat sejati merupakan salah satu cabaran juga buat kita umat Islam. Sudahkah kalian menemui sahabat sejati anda? Saidina Umar Al-Khattab pernah berkata:
"Engkau mestilah mencari saudara-saudara yang jujur, hiduplah dalam lingkungan mereka, kerana mereka merupakan perhiasan di waktu senang dan bekalan di waktu sukar.”
Apakah ciri-ciri sahabat sejati di pandangan kalian semua? Adakah seperti berikut:
  • mampu menyiapkan tugasan (assignment) kita semasa di kampus;
  • mampu memberi kita wang tunai dan sentiasa belanja kita di mana-mana sahaja;
  • sentiasa bersuka ria bersama-sama kita;
  • untuk berseronok-seronok;
  • untuk jadikan ahli kumpulan bagi senang menyelesaikan tugasan (assignment) atau kerja kursus; atau
  • tempat kita cari ketika kita memerlukan pertolongan dan tinggalkan ketika kita dalam keadaan senang?
Bagi pandangan ikhlas penulis, kriteria-kriteria di atas langsung tidak memenuhi kriteria yang baik sebagai sahabat sejati Muslim. Sahabat sejati bukannya mudah untuk diperolehi. Memerlukan masa, persefahaman dan keikhlasan dari hati. 

Pernahkah kita terfikir, apabila kita dalam keadaan sakit, berapa orangkah dari beramai-ramai kawan yang sanggup bersusah payah dan berkorban masa dan sebagainya untuk membantu kita dalam proses kita untuk sembuh? Ketika kita dalam keadaan susah, berapa orangkah dari berjuta rakan-rakan yang sanggup bersusah payah menghulurkan tangan untuk membantu dan meringankan beban kita?

Sahabat sejati ialah merupakan insan yang sentiasa berada di sisi kita, ketika susah atau senang, ketika suka ataupun duka, ketika sihat mahupun sakit, ketika ketawa dan juga menangis dan sentiasa memberi sokongan pada kita dalam masa apa jua sekalipun.

Dan yang paling penting sebagai sesama Muslim, sahabat sejati juga memainkan peranan yang amat penting dalam membantu dan membimbing kita ke jalan yang diredhai oleh Allah serta sentiasa bersedia untuk menegur kita ketika kita berada di landasan yang salah dalam hidup yang penuh dugaan ini.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata:
"Rasulullah s.a.w. telah bersabda, maksudnya: 'Seorang Mukmin itu berada di atas agama (gaya hidup dan perilaku) sahabatnya. Maka, salah seorang daripada kamu hendaklah memerhatikan dengan siapakah dia bersahabat.' " (Riwayat al-Tirmizi dan Abu Daud)

Ikhlas kerana Allah,
Mohiz M. Faiz
(Hamba Ilahi)

Ahad, 19 Mei 2013

Kesempurnaan Seseorang: Adakah Perlu Untuk Menegur?

Beberapa bulan yang lalu, penulis telah bersembang dengan seorang rakan tentang menegur orang lain jikalau kita nampak sesuatu kesalahan yang dilakukan oleh orang itu. Sebagai contoh, kita tegur seseorang itu berkaitan solat fardhu lima waktu yang wajib ditunaikan oleh setiap orang bergelar Muslim. Lalu, rakan penulis membalas perbualan penulis dengan berkata:

"Ish, kalau aku jadi hang aku tak berani aih nak teguq orang macam tu! Kita pun tak sempurna mana, nak teguq orang lain pulak."
Kemudian, penulis berhenti sejenak lalu memikirkan adakah benar kata-kata rakan penulis ini atau tidak? Penulis juga berfikir, di muka bumi Allah SWT ini tidak ada sesiapa atau apa pun yang sempurna melainkan Allah, Maha Pencipta. Sekiranya kesempurnaan seseorang menjadi ukuran untuk menegur atau mengajar orang lain, erti kata lain memang tidak akan wujudlah guru/pendidik mahupun ustaz kerana sudah semestinya mereka juga di kalangan manusia biasa dan mereka juga tidak sempurna. Yang membezakan hanyalah iman masing-masing. Dengan kemusykilan yang timbul, penulis telah berpeluang untuk mengemukakan persoalan ini kepada tiga orang ustaz penulis. Berikut adalah pandangan ustaz-ustaz tersebut:
Pandangan pertama, dari Ustaz Supani, menyatakan:
"Itu adalah sama sekali tidak benar. Kita tegur mereka apabila mereka melakukan kesalahan begitu juga sebaliknya apabila mereka melihat kita melakukan kesalahan, mereka perlu menegur. Itu adalah perintah Rasulullah SAW.
Pandangan kedua, dari Ustaz Saidi Adnan, menyatakan:
"Hadis nabi telah menyatakan bahawa kita perlu menegur kesilapan orang. Hadis tersebut bersifat umum dan tidak khusus untuk orang yang sempurna atau tidak. Jika kita ternampak seseorang itu melakukan kesilapan, menjadi kewajipan untuk kita tegur secara hikmah."
Pandangan ketiga, dari Ustaz Zahirwan, menyatakan: 
"Kita perlu menegur orang kerana tiada sesiapa pun di kalangan kita sempurna. Tindakan kamu itu betul, jangan mengalah. Dalam berdakwah, memang banyak cabarannya."
Oleh yang demikian, jelaslah bahawa menegur kesilapan atau kesalahan orang lain tidak perlu mengira sama ada kita ini sudah cukup sempurna ataupun tidak. Namun, kita perlulah tegur dengan ikhlas dan dengan cara orang boleh terima teguran tersebut.

Di samping itu, penulis juga pernah terbaca tweet dari salah seorang sahabat penulis di Twitter, di mana tweet tersebut adalah seperti berikut:
"Kita tidak perlu mencari orang yang sempurna untuk menegur kita, dan kita tidak perlu menjadi orang yang sempurna untuk menegur orang lain."
Penulis sangat bersetuju dengan ungkapan beliau.

Wallahu'alam.

Ikhlas kerana Allah,
Mohiz M. Faiz
(Hamba Ilahi)

Rabu, 8 Mei 2013

Mohon Kekuatan Dari Allah

Kita seringkali berdoa mohon dari Allah SWT agar diberi kekuatan. Apakah yang kita jangka Allah akan beri pada kita? Adakalanya, lebih banyak masalah yang kita dapat ekoran itu. Lalu, kita merungut dan merungut, "kenapalah Allah menduga aku sebegini rupa? Kenapa Allah tidak makbulkan doa aku?"

Namun, kita tidak sedar bahawa Allah SWT telah makbulkan doa kita tadi. Bagaimana? Senang sahaja. Marilah kita fikir balik, Allah turunkan masalah kepada kita agar kita ikhtiar dan usaha untuk selesaikan masalah tersebut. Jika kita tidak berputus asa dan sentiasa usaha menyelesaikannya, maka itulah kekuatan yang Allah beri kepada kita sepertimana yang kita mohon sebentar tadi.

Jika kita fikirkan semula, mengapa Allah berbuat demikian? Sebenarnya itulah yang jadi pengukur kekuatan yang diberi kepada kita sebentar tadi. Jika Allah tidak turunkan masalah kepada kita, dan kita tidak mempunyai sebarang masalah untuk diselesaikan, maka kita tidak mempunyai sebarang usaha dan bagaimanakah kita hendak mengukur kekuatan kita itu? Oleh yang demikian, usahlah kita merungut seolah-olah Allah SWT tidak makbulkan doa kita.

Wallahu'alam. 

Ikhlas kerana Allah,
Mohiz M. Faiz
(Hamba Ilahi)
 

Selasa, 7 Mei 2013

Kalah Bermaruah

Menjadi satu adat dalam setiap pertandingan di mana apabila kita bertanding, pasti ada yang menang dan yang kalah. Namun, tidak semestinya yang menang itu berkuasa atau kuat dan yang kalah itu lemah. Di samping itu, perlu kita ingat bahawa tidak semestinya kita kalah bermakna kita gagal dalam kehidupan kita. Yang penting, kita telah cuba sedaya upaya kita. Selebihnya, kita berserah kepada Allah SWT kerana Dia yang menentukan segalanya. Kita hanya mampu berusaha dan berdoa.

Para sahabat dan pembaca yang dikasihi sekalian, pernah disebut oleh seorang ahli ulama': "Kemenangan belum tentu rahmat, kekalahan belum tentu azab" (Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki). Ayuhlah wahai pejuang-pejuang keadilan agar tidak sama sekali berputus asa malah teruskan lagi usaha serta doa agar kita peroleh kejayaan di dunia serta di akhirat nanti. Adakalanya, kemenangan untuk kebenaran ditangguhkan namun kita sebagai hamba Allah tidak sama sekali harus berputus asa. Dalam erti perjuangan, terdapat tiga ramuan yang menjadi aspek yang penting iaitu usaha, doa dan tawakal. Insya-Allah apabila kita berniat baik, Allah SWT akan sentiasa bersama kita. Jadikan "kekalahan" itu sebagai iktibar. Ada hikmah di sebalik setiap kejadian.

Wallahu'alam.


Ikhlas kerana Allah,
Mohiz M. Faiz
(Hamba Ilahi)
 

Ahad, 5 Mei 2013

Sekalung Budi

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Terutama sekali, diucapkan setinggi-tinggi syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia-Nya saya dapat menghasilkan lagi satu laman blog dalam bahasa Melayu untuk berkongsi sebarang persepsi dan sebagainya untuk tatapan para sahabat dan pengunjung. Diharap agar laman blog ini dapat memberi manfaat kepada pembaca dan pengunjung serta dengan apa yang dikongsi. Di samping itu, saya juga mengalu-alukan perkongsian ilmu dan pendapat dari pembaca dan pengunjung. Dan sebarang apa yang di-post-kan di blog terdapat percanggahan atau salah dari segi fakta dan sebagainya, komen amatlah dialu-alukan. 

Sekian, terima kasih.